Selasa, 24 Ogos 2010

Kedatangan Jepun Dan Si Jahanam Bintang Tiga

     Sementara itu, British menguasai Sarawak menerusi Dinasti Brooke dari tahun 1853 sehinggalah kedatangan Jepun. Manakala di Sabah (Borneo Utara) pula, British menguasai secara tidak langsung melalui Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBBU). Penguasaan kolonial British disekat secara tiba-tiba oleh kuasa imperialis Asia iaitu Jepun.

     Walaupun tempoh penaklukan Jepun hanya tiga tahun setengah iaitu dari 15 Februari 1942 hingga 12 September 1945, namun period tersebut telah menyemai semangat kebangsaan (nasionalisme) di kalangan rakyat. Kekalahan British di tangan Jepun telah membuka mata dan minda rakyat bahawa penjajahan boleh ditamatkan dan tanahair boleh bebas daripada cengkaman imperialisme.

     Setelah tamatnya penjajahan Jepun, tanahair dikejutkan dengan penguasaan rakus dan tidak berperikemanusiaan selama 14 hari oleh Parti Komunis Malaya (PKM) melalui unit elitnya Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA) yang juga dikenali sebagai Bintang Tiga. Kemudian tanpa rasa malu British datang semula pada September 1945 atas nama Pentadbiran Tentera British (BMA). Langkah ini untuk menguasai semula Tanah Melayu dan mencetuskan neo-kolonialisme iaitu Malayan Union.


     Keperitan rakyat di bawah Jepun dan Bintang Tiga serta luka lama kesan penjajahan British telah memercikkan bibit-bibit nasionalisme di kalangan rakyat. Nasionalisme ini sebenarnya telah lama bermula tetapi telah dipadamkan oleh British. Penentangan dan perjuangan negara seperti Dato’ Sagor, Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Bahamam, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbung, Mat Kilau, Datuk Syahbandar Abdullah Tunggal, Dol Said, Rentap, Syarif Masahor, Datu Patinggi Abdul Gapur dan Mat Salleh (hanya menyebut beberapa nama) merupakan antara satria awal negara yang sanggup mengorbankan jiwa raga demi memperjuangkan kebebasan dan iltizam menghalau penjajah.

      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan