Selasa, 24 Ogos 2010

Rombongan Merdeka Dan Pengisytiharan Kemerdekaan

     Pada awal 1956, Rombongan Merdeka dibentuk yang terdiri daripada 4 wakil raja-raja Melayu dan empat wakil Parti Perikatan. Rundingan dipengerusikan oleh Lord Lennox-Boyd iaitu Setiausaha Tanah Jajahan British telah berlangsung dari 18 Januari hingga 8 Februari 1956 telah diakhiri dengan pemeteraian Perjanjian London. Rombongan Merdeka kembali pada 20 Februari 1956 dan diberi sambutan meriah dalam perhimpunan di Padang Merdeka Bandar Hilir, Melaka.

     Di sinilah Tunku mengumumkan tarikh kemerdekaan ditetapkan pada 31 Ogos 1957. Laungan merdeka sudah mula kedengaran! Draf perlembagaan oleh Suruhanjaya Reid teleh diterima oleh Parlimen British pada Jun 1957 dan dibentangkan untuk diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan. Kemudian pada 15 Ogos 1957, upacara menandatangani Perjanjian Merdeka 1957 dijalankan antara raja-raja Melayu dengan British di King’s House.

     Fasal penting Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah memberikan hak kedudukan istimewa orang-orang Melayu tanpa mengurangkan hak warganegara kaum-kaum lain, agama Islam sebagai agama rasmi serta kebebasan penganut agama lain mengamalkan agama masing-masing, bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan dan Yang Di-Pertuan Agung sebagai ketua negara. Perlembagaan Merdeka ini telah memberikan hak mutlak penduduk tempatan menerajui sebuah negara berdaulat.

     Pada malam 30 Ogos 1957, di hadapan Padang Kelab Selangor, bendera Union Jack diturunkan “setelah sekian lama sejak Francis Light mula mengibarkannya di Pulau Pinang” dan dinaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu. Pada pagi 31 Ogos 1957, peristiwa pemasyhuran kemerdekaan disaksikan oleh ribuan rakyat di Stadium Merdeka. Wakil Ratu Elizabeth, Duke of Wellington telah menyerahkan dokumen Perisytiharan Kemerdekaan kepada Yang Di-Pertuan Agong. Penyerahan ini menandakan pemulangan kuasa politik negara ini kepada pemerintah tempatan setelah dikuasai oleh penjajah selama hampir 446 tahun!

     Klimaksnya ialah laungan keramat merdeka oleh Tunku Abdul Rahman. Inilah hasil perjuangan suci para satria kemerdekaan pasca Melaka dengan bermulanya kedatangan Portugis sehinggalah tarikh 31 Ogos 1957. Dahulu kita pernah membina negara bangsa yang bertamadun kemudian diruntuhkan oleh Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan Bintang Tiga. Janganlah kita runtuhkan lagi. Sekali runtuh amat sukar untuk membinanya semula.

Bukan senang hendak mencapai kemerdekaan ; Bukan mudah hendak mempertahankan kemerdekaan.
SUMPAH SEMERAH PADI


  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan