Selasa, 24 Ogos 2010

Perjuangan

     Walaupun penentangan yang dilakukan tidak memperoleh apa-apa kemenangan tetapi perjuangan inilah yang telah menyubur dan memercikkan api nasionalisme. Gerakan nasionalisme seperti ini bertunjangkan misi pembentukan negara bangsa yang merdeka, bebas dari penjajah dan mentadbir sistem pemerintahan negara sendiri dengan acuan kepimpinan sendiri.

     Maka. langkah paling berkesan dalam menyemarakkan idea nasionalisme kemerdekaan adalah melalui sebaran media massa. Pada masa itu, mata pena amat tajam daripada muncung senapang. Justeru itu, kita tidak boleh mengkesampingkan peranan Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Abdul Kadir Adabi, dan Abdul Rahim Kajai serta ramai tokoh lagi. Terdapat tiga golongan yang menjadikan mata pena sebagai senjata menyemarakkan nasionalisme.

Pertama : golongan agama lepasa Al Azhar, Mesir dan Timur Tengah yang lebih dikenali sebagai Gerakan Islah.

Kedua : golongan sekular berpendidikan Inggeris.

Ketiga : golongan sekular berpendidikan Melayu.

     Mereka mengeksploitasi keilmuan melalui penerbitan akhbar menentang British secara kreatif tanpa dihidu oleh British pada peringkat awalnya. Akhbar seperti al-Imam, Utusan Melayu (satu-satunya akhbar yang masih kekal sehingga kini), Seruan al-Azhar, Lembaga Melayu, Neracha, al-Ikhwan dan Lidah Benar (sekadar menyebut beberapa nama) adalah tempat para penulis berkarya menanamkan idea nasionalisme.

     Gagasan Malayan Union telah meniupkan angin nasionalisme secara mendadak. Tindakan Sir Harold Mac Michael memaksa raja-raja Melayu menerima idea Malayan Union ditentang hebat oleh raja-raja Melayu dan rakyat. Usul pemberian kewarganegaraan secara kaedah “jus soli” dan status Tanah Melayu sebagai negeri naungan British dan meneruskan pentadbiran Majlis Raja-Raja hanya dalam soal agama dan hal ehwal adat amat tidak disenangi oleh raja-raja dan rakyat Tanah Melayu. Komuniti Cina dan India tidak ghairah membantah kerana idea Malayan Union lebih menguntungkan mereka terutama usul jus soli! Malah ada yang mengkritik klausa-kluasa perlembagaan Malayan Union yang pada pandangan mereka melebihkan kaum Melayu melalui akhbar mereka pula! Penentangan ini lebih berkesan melaui penubuhanPekembar atau UMNO yang muncul di barisan hadapan menyuarakan bantahan menentang Malayan Union.

     Pada 1-4 Mac 1946, Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu diadakan di Kelab Sultan Sulaiman dan kongres kedua diadakan di Johor Bahru pada 1 Mei 1946. Di sinilah, di Istana Besar Johor Bahru UMNO diisytiharkan! Tokoh-tokoh seperti Dato’ Onn Jaafar, Zaaba, Datin Puteh Mariah, Halimahton Majid, Cikgu Zahara Abdullah dan Syeikh Gharieb Raub memainkan peranan memacu tentangan terhadap Malayan Union. British amat terkejut dengan penentangan dan perubahan sikap masyarakat Melayu.
Walaubagaimanapun Malayan Union tetap juga ditubuhkan pada 1 April 1946 tetapi majlis perlantikan Edward Gent sebagai Gabenor telah dipulaukan. Lantaran penentangan secara besar-besaran maka Malayan Union dibatalkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu. Dari sinilah bermulanya episod untuk mendapatkan kemerdekaan.

     Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 diadakan di King’s House, Kuala Lumpur (sekarang Seri Carcosa). Prinsip jus soli dimansuhkan dan syarat kerakyatan diperketatkan, konsep raja berpelembagaan diperkenalkan dan perlindungan istimewa kepada orang Melayu. Pada masa ini tokoh yang banyak memainkan peranan ialah Tunku Abdul Rahman selaku Presiden UMNO yang menggantikan Dato’ Onn Jaafar.

     Percubaan pertama menuntut kemerdekaan berlaku pada 1954. Tunku mengetuai sekumpulan perwakilan ke London untuk memperoleh sokongan untuk merdeka daripada Ratu England tetapi gagal. British tidak akan memberikan kemerdekaan sekiranya tiga kaum terbesar tidak boleh bersatu! Secara implisitnya, British ingin memastikan prasyarat tersebut mesti dipatuhi kalau tidak mereka akan meneruskan penjajahan lagi.

     Tunku mengambil insiatif bersama Tun H.S.Lee membentuk gabungan UMNO dengan MCA dalam Pilihanraya Persekutuan pertama pada Julai 1955. Dengan manifestonya untuk mencapai kemerdekaan dalam masa empat tahun telah membuahkan hasil. Parti Perikatan (gabungan UMNO-MCA) memenangi 51 daripada 52 kerusi. Usaha murni ini diteruskan dengan membawa MIC pula menyertai Perikatan.

    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan